Fakta kes tuntutan Kumpulan Sulu tak begitu kukuh
Kerajaan bangunkan laman sesawang berkaitan sejarah tuntutan Kumpulan Sulu

PUTRAJAYA, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan telah membangunkan sebuah laman sesawang yang mengandungi maklumat berkaitan sejarah dan perkembangan semasa tuntutan Kumpulan Sulu yang akan dilancarkan hari ini.
Laman sesawang “Malaysia-Sulu Case” itu menggunakan lima bahasa iaitu, Bahasa Melayu, Inggeris, Tagalog, Perancis dan Sepanyol hasil usaha Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Digital.
Azalina juga berkata, fakta kes tuntutan Kumpulan Sulu itu adalah tidak begitu kukuh kerana sehingga kini belum diketahui sama ada mereka yang membuat tuntutan itu benar-benar waris Sultan Jamalul Kiram II.
Katanya, asas tuntutan kumpulan berkenaan hanya berdasarkan kepada perjanjian antara Kesultanan Sulu dengan wakil Syarikat Borneo Utara British pada abad ke-19 dalam tulisan Jawi.
Beliau berkata, tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia juga mengabaikan kehendak rakyat Sabah untuk menyertai Malaysia pada 1963 seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Cobbold.
Menurut Azalina, tuntutan berkenaan melalui timbang tara komersial serta prosiding terhadap Malaysia dibiayai oleh dana litigasi dikenali sebagai Therium untuk menuntut sebanyak US$14.9 bilion daripada Malaysia.
Pada Februari tahun lepas, agensi berita di Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu Dr Gondoza Stampa telah mengarahkan Malaysia membayar pampasan sebanyak AS$14.92 (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.
Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah atau pampasan berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 yang dikatakan telah melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. – Bernama