Dunia

Israel larang pelawat Yahudi masuk ke perkarangan al-Aqsa

Arahan dikeluarkan pejabat Netanyahu tanpa penjelasan terperinci

GENEVA, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Pelawat dan pelancong Yahudi akan diharamkan untuk memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur sehingga akhir bulan Ramadan.

Arahan itu dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan pada Selasa tanpa menjelaskan secara terperinci, lapor agensi berita Reuters.

Ketegangan memuncak di seluruh wilayah Palestin sejak polis Israel menceroboh dan menyerang jemaah di kompleks Masjid Al-Aqsa, minggu lalu.

Serbuan rejim itu sekali gus telah mencetuskan serangan roket ke atas Israel dari Semenanjung Gaza, Lubnan dan Syria yang turut bertindak balas oleh Tel Aviv.

Isnin lalu, Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis memaklumkan lebih 1,500 penceroboh haram Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa sempena cuti Paskah Yahudi yang berterusan sehingga 12 April.

Insiden itu menyebabkan sejumlah jemaah Palestin dihalau dan dilarang menunaikan solat di masjid berkenaan.

Kejadian seumpama ini bukanlah kali pertama berlaku di wilayah Palestin, kerana laporan media mendedahkan keganasan sama berulang sejak Ramadan pada 2021 dan 2022.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button