Kematian pertama selesema burung H3N8 di China
Risiko jangkitan merebak pada manusia masih rendah

GENEVA, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kematian seorang wanita akibat wabak selesema burung H3N8 di China.
Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kes itu adalah kematian manusia pertama yang direkodkan akibat daripada virus selesema burung.
H3N8 diketahui telah menular sejak 2002 selepas pertama kali muncul dalam unggas air di Amerika Utara, dan menjangkiti kuda, anjing serta anjing laut.
Virus itu bagaimanapun tidak dikesan pada manusia sebelum dua kes tidak membawa maut muncul – kedua-dua kes di China – pada April dan Mei tahun lalu.
Bagi kes baharu ini, WHO berkata, kematian membabitkan seorang wanita berusia 56 tahun dari wilayah Guangdong di tenggara China.
Mangsa mula sakit pada 22 Februari, kemudiannya dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru teruk pada 3 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 16 Mac lalu, kata WHO.
“Pesakit mempunyai pelbagai keadaan asas. Dia mempunyai sejarah pendedahan kepada ayam hidup sebelum penyakit dikesan, dan sejarah kehadiran burung liar di sekitar rumahnya.
“Tiada kontak rapat kes itu mengalami jangkitan atau gejala penyakit seperti dilaporkan,” katanya.
Justeru, WHO menggesa siasatan lanjut ke atas haiwan dan manusia bagi mengesan punca sebenar pendedahan jangkitan berkaitan virus H3N8.
Katanya, daripada dua kes tahun lepas, seorang dilaporkan kritikal dan seorang lagi hanya mengalami gejala ringan.
Kedua-dua kes berkemungkinan mendapat jangkitan daripada pendedahan langsung atau tidak langsung kepada ayam yang dijangkiti.
“Nampaknya virus ini tidak mempunyai keupayaan untuk merebak dengan mudah dari manusia ke manusia.
“Oleh itu risiko merebak di kalangan manusia di peringkat kebangsaan, serantau atau antarabangsa dianggap rendah.
“Bagaimanapun, disebabkan sifat virus influenza yang sentiasa berubah, WHO menekankan kepentingan pengawasan global untuk mengesan perubahan virologi, epidemiologi dan klinikal,” katanya.- Agensi