Berita Utama

Laporan sahkan pertukaran bekalan bahan api dari Russia ke Iran

Usaha kurangkan kesan sekatan Barat terhadap ekonomi

TEHRAN, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Pihak berkuasa Iran dan Russia dilaporkan terbabit dalam perjanjian untuk menukar bekalan produk minyak.

Perkara itu disahkan menerusi laporan Reuters, menyatakan Russia telah membekalkan sejumlah besar bahan api kepada Iran melalui kereta api.

Perjanjian itu adalah pertukaran yang bertujuan untuk menjejaskan sekatan Barat ke atas kedua-dua negara.

Laporan itu memetik dua sumber sebagai berkata, Russia telah membekalkan sehingga 30,000 tan metrik petrol dan diesel kepada Iran pada Februari dan Mac.

Penghantaran tersebut dibekalkan melalui kereta api dari Russia melalui Kazakhstan dan Turkmenistan ke Iran, sambil menambah, beberapa kargo petrol kemudiannya dieksport semula dengan trak dari Iran ke negara jiran, termasuk Iraq.

Laporan itu mengesahkan kenyataan pihak berkuasa Russia dan Iran, yang mencadangkan kedua-dua negara mempertingkatkan kerjasama tenaga mereka untuk mengimbangi kesan sekatan Barat terhadap ekonomi.

Pertukaran itu sekali gus membolehkan Russia mengeksport minyak mentah, gas asli dan produk minyaknya ke negara di rantau ini melalui Iran sambil membantu Iran meningkatkan bekalan tenaga ke wilayah utaranya.

Iran berada di bawah sekatan AS sejak 2018 apabila Washington memutuskan untuk menarik diri daripada perjanjian antarabangsa mengenai program nuklear Iran. 

AS dan sekutu di Eropah mengenakan pusingan sekatan ke atas Russia sejak bermulanya perang di Ukraine lebih setahun lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button