Sistem kehakiman terima tempias dahsyat kerana porak-peranda politik
Sejauh mana mahkamah boleh kekal wibawa tanpa tekanan politik

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Suasana politik Malaysia yang porak-peranda telah memberikan ‘tempias’ yang sangat dahsyat kepada imej dan kedudukan sistem kehakiman negara.
Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, institusi kehakiman seolah-olah menjadi instrumen atau ‘alat’ kepada ahli politik, khususnya penguasa negara.
Buktinya, institusi keadilan itu sering dipertikaikan kewibawaan dan diperkotak-katikkan integritinya oleh pemain politik apabila ada dalam kalangan pemimpin mereka yang dituduh di mahkamah.
“Kita dapat lihat dengan jelas apabila keputusan mahkamah memihak kepada mereka, mereka akan kata mahkamah itu adil.
“Dan jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada mereka, mereka mengatakan tidak dapat keadilan yang sepatutnya,” katanya dalam siaran langsung di laman Facebook, hari ini.
Bukan hanya mempertikai kewibawaan mahkamah, Abdullah Zaik berkata, sistem kehakiman juga dijadikan permainan golongan politik yang sesuka hati menekan dan menukar ganti hakim untuk tujuan melaksanakan agenda politik mereka yang memerintah.
“Sebagai orang awam, kita mungkin berfikir adakah institusi kehakiman ini masih boleh dipercayai, oleh kerana terlalu banyak pertikaian, mempersoalkan kewibawaan insititusi kehakiman disebabkan seorang dua tokoh politik yang dihadapkan ke mahkamah.
“Maka, parti-parti terlibat mewakili kepimpinan masing-masing mempertikaikan keputusan mahkamah.
“Jadi, sejauh mana mahkamah boleh mengekalkan kewibawaannya untuk bertindak, membuat keputusan secara adil dan saksama tanpa dipengaruhi tekanan serta permainan politik, khususnya yang berkuasa,” katanya.
Sekiranya amalan itu berterusan menjadi fenomena, Abdullah Zaik bimbang negara bukan hanya akan berdepan masalah politik, tetapi juga berisiko menghadapi satu krisis kepercayaan yang besar kepada sistem kehakiman.
“Tidakkah persoalan mempertahankan kebebasan atau integriti sistem kehakiman ini menjadi tanggungjawab semua pihak?
“Jadi, kalau kita tidak mengambil berat perkara ini, nescaya kepercayaan kepada sistem kehakiman negara akan terjejas teruk,” katanya.