Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pengeluaran KWSP: Shahidan Kassim bidas kenyataan Ahmad Maslan

MP Arau saran kerajaan ambil pendekatan guna rizab badan tertentu sebagai sumber

BANGI, 22 Ramadan 1444H, Khamis – Ahli Parlimen Arau membidas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan yang meminta rakyat mencari alternatif lain dalam menyelesaikan masalah kewangan, dan bukan hanya tertumpu kepada pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Ahli Parlimen Pontian itu tidak sepatutnya terlalu angkuh dalam membuat kenyataan berkaitan pengeluaran KWSP, sebaliknya perlu ada rasa empati kepada rakyat.

“Menteri jangan angkuh dalam memberikan jawapan kerana kita tidak tahu apa masalah rakyat sebenar.

“Pengeluaran KWSP secara bersasar perlu dipertimbangkan bukannya mengenengahkan pendekatan pinjaman secara bercagar yang dilihat menambahkan beban rakyat.

“Dalam keadaan rakyat semakin terdesak kerajaan sepatutnya mempertimbangkan pengeluaran tersebut bukannya memberi pelbagai alasan.

“Bagi saya pengeluaran KWSP adalah hak rakyat, mereka memerlukan untuk tujuan khusus masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad menyarankan rakyat mencari alternatif lain daripada memberi tumpuan membuat pengeluaran KWSP bagi menyelesaikan masalah.

Ahmad, sebelum ini menegaskan bahawa KWSP bukan adalah simpanan hari tua dan untuk masa depan, bukan simpanan hari muda.

Bagaimanapun, Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis menyifatkan kenyataan dikeluarkan Ahmad adalah tidak wajar.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memberi maklum balas mengenai perkara itu.

“Benda ini adalah sesuatu yang serius dan Timbalan Menteri Kewangan sewajarnya tidak perlu memberi komen memandangkan percakapannya sering kali tersasar,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan menyarankan kerajaan mengambil pendekatan sebagaimana dilaksanakan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menggunakan rizab daripada badan tertentu sebagai sumber bagi pengeluaran KWSP.

Katanya, rakyat tidak mahu pinjaman bercagar melalui bank dan kerajaan perlu memperhalusi perkara ini bagi membantu mereka membuat pengeluaran KWSP

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button