Berita Utama

Cukai: ‘Memang untung, tapi kesan akibat vape lebih teruk’

Ibarat gadai masa depan anak bangsa, pewaris perjuangan negara

Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Ramadan 1444H, Jumaat – Kerajaan seolah-olah sanggup menggadaikan sumber terbesar negara dengan mengambil keputusan semborono apabila melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik yang berkuat kuasa sejak 1 April lalu.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Shahier Sa’min berkata, keputusan kerajaan itu hanya melihat aspek materialistik tanpa mengambil kira sumber insan sebagai sumber utama negara.

Beliau berpendapat, kerajaan hanya memperoleh keuntungan sedikit melalui pelaksanaan cukai berkenaan, sedangkan bakal menanggung kerugian yang lebih besar kelak.

“Negara atau kerajaan mungkin boleh dapat sedikit habuan apabila pelaksanaan cukai ini dikenakan, namun akhirnya cukai yang dikutip nanti akan menanggung pula masalah atau kesan kesihatan daripada vape.

“Saya lihat isu ini secara umum, bukan semata-mata vape, malah juga pada arak dan rokok. 

“Di kemudian nanti, kerajaan perlu menanggung kesan daripada vape, rokok dan arak meskipun mereka boleh mengutip cukai,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula kesan pelaksanaan itu, selain tidak melihat daripada sudut kerangka untung rugi kewangan semata-mata.

“Dalam masa sama, kita sedang menggadaikan masa depan anak bangsa, yang mana mereka ini pewaris kepada perjuangan negara pada masa hadapan.

“Kerajaan perlu berpegang kepada aspek kebenaran, nilai-nilai keadilan, tanggungjawab dan tidak memahami manusia seperti mana kefahaman pihak kapitalis.

“Mereka memahami manusia ini sebagai sumber produksi untuk mengeluarkan produk, sedangkan manusia itu adalah sumber utama sesuatu negara,” katanya.

Bermula 1 April lalu, kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Perdana Menteri juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar sebelum ini pula mendakwa, pelaksanaan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik itu akan dikaji semula.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button