Berita Utama

Kesihatan usus penting cegah penuaan awal, stabilkan emosi

Ambil sumber makanan ada prebiotik, probiotik bagi merawat usus

KUALA LUMPUR, 23 Ramadan 1444H, Jumaat –  Usus yang sihat berkait rapat dengan kesihatan tubuh kerana ia mampu menyerap sumber nutrien penting daripada makanan dan memastikan sistem pertahanan badan berfungsi dengan baik.

Meskipun kebanyakan penyakit berkaitan usus tidak membawa maut, namun ia boleh memberi kesan buruk kepada kualiti hidup sekiranya penyakit berkenaan kerap berlaku dan berpanjangan.

Usus secara asasnya boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu usus kecil dan usus besar.

Usus kecil adalah organ penghadaman dan berfungsi untuk mencernakan makanan, manakala usus besar atau kolon bekerja untuk menyerap air serta mineral dari makanan yang dimakan, serta menyingkirkan sisa buangan (najis).

USUS SIHAT

Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi  dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Tan Yu Peng, mengekalkan kesihatan usus adalah sangat penting kerana ia adalah asas kepada tubuh yang sihat.

Beliau berkata, usus yang sihat akan mendorong sistem penghadaman manusia berfungsi dengan lebih baik dan makanan yang dicernakan dapat diserapkan secara optimum.

‘’Usus adalah organ yang berbentuk tiub dan menyambungkan tempat masuk makanan dari mulut ke tempat keluar sisa dari dubur.

‘’Fungsi utama usus ialah untuk penghadaman makanan dan penyerapan nutrien. Zat makanan yang diserap oleh usus itu yang akan memberikan kita tenaga,’’ jelasnya, sambil menambah, apabila usus sihat, ia secara tidak langsung dapat mencegah pelbagai penyakit yang kebiasaannya dialami orang ramai termasuk sembelit, cirit-birit dan sakit perut, “ katanya kepada Bernama.

Namun sekiranya, penyakit berkenaan berlarutan dan tidak dirawat, gejala itu boleh membawa kepada pelbagai penyakit lain seperti penyakit autoimun dan diabetes.

PENUAAN

Dr Tan turut berkongsi bahawa ramai yang tidak mengetahui bahawa golongan muda yang mempunyai masalah kesihatan usus turut terdedah kepada proses penuaan lebih cepat.

Menurut beliau, terdapat beberapa punca yang dikenal pasti menjadi penyebab kepada berlakunya proses penuaan awal, akibat daripada usus yang tidak sihat.

Antaranya, seperti mengambil makanan dan minuman terlampau manis dan berlemak, merokok atau minum minuman beralkohol secara berlebihan.

Selain itu, beliau berkata, golongan muda yang mempunyai tahap stres kronik dan tidak mendapat rehat yang cukup boleh menghidapi masalah usus tidak sihat dan mengakibatkan proses penuaan ke atas individu itu berlaku lebih cepat.

Beliau menjelaskan, mereka yang mempunyai kesihatan usus yang lemah akan menyebabkan kadar penyerapan nutrien daripada makanan tidak optimum serta berlaku peningkatan  toksik di dalam badan.

‘’Ini akan menyebabkan seseorang itu mengalami keradangan usus dan ketidakseimbangan flora bakteria (bakteria penting untuk proses penghadaman) dalam usus yang kemudiannya menyumbang pula kepada masalah penghadaman.

‘’Apabila keadaan ini berlaku, ia akan mendorong kepada kekurangan zat makanan, warna kulit yang kusam, jerawat pada badan, perut buncit dan kesukaran mengawal berat badan. Tanda ini menunjukkan golongan muda akan terlihat lebih berusi,’’ katanya.

Beliau menegaskan, langkah paling berkesan untuk memelihara kesihatan usus adalah dengan mengamalkan pola pemakanan seimbang serta mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Ia termasuklah juga mengambil sumber makanan yang  mengandungi prebiotik dan probiotik bagi merawat usus seperti susu kultur, tempe, sayuran serta buah-buahan.

‘’Probiotik adalah bakteria baik yang bagus untuk kesihatan usus manakala Prebiotik pula, makanan kepada (bakteria) probiotik,  yang akan membantu pertumbuhan bakteria baik di dalam usus.

‘’…dan antara cara lain yang mudah untuk menjaga usus juga adalah dengan berpuasa mengikut jadual yang digilirkan (intermittent fasting). Berpuasa berkala sememangnya dapat menyihatkan usus kerana ia dapat memberikan masa rehat kepada usus dan pada masa sama membaik pulihkan sel dan dinding usus,’’ tambahnya.

USUS DAN EMOSI

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri SMCV Dr Ryan Tee Chun Keat berkata, kesihatan usus bukan hanya berkait rapat dengan kesihatan tubuh, malahan ia juga penting untuk kesejahteraan mental manusia.

Sering dirujuk sebagai otak kedua manusia, usus memainkan peranan penting dalam kesejahteraan mental secara keseluruhan.

Menurut Dr Ryan, ia kerana paksi otak-usus adalah hubungan dua hala di antara otak dan usus, serta saling berkait rapat bagi menguruskan emosi dan tekanan.

‘’Manusia mempunyai trilion mikroorganisma yang memberi manfaat kepada kesejahteraan mental dan ia memainkan peranan yang penting dalam tindak balas badan terhadap stres, pengawalan emosi (emotional regulation) dan pemikiran seseorang.

‘’ Seseorang yang sering mengalami simptom gastrik seperti kembung perut, pedih ulu hati, cirit-birit, sembelit, boleh menyebabkan mereka mudah rasa stres, marah atau murung. Sebaliknya, seseorang yang mengalami stres, kemurungan dan kebimbangan melampau (anxiety) juga boleh mengalami simptom gastrik ” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ryan berkata, saluran gastrousus atau pencernaan turut mempengaruhi mood dan sangat sensitif terhadap perubahan emosi manusia termasuk sedih,  marah dan gembira.

Malahan katanya,  individu yang mempunyai masalah pencernaan yang kronik turut berisiko tinggi untuk mendapat penyakit mental seperti kemurungan dan kebimbangan melampau.

‘’Kemurungan dan kebimbangan melampau adalah penyakit mental yang  sering  dialami kebanyakan orang. Kedua-dua penyakit ini boleh dirawat dengan rawatan psikoterapi  atau ubat-ubatan bergantung kepada keadaan pesakit.

‘Amat penting untuk mengenal pasti samada gejala gastrik adalah disebabkan oleh penyakit gastrik atau disebabkan penyakit mental. Selepas mengenal pasti punca gejala gastrik barulah rawatan yang bersesuaian boleh diberikan,’’ katanya.

PULIHKAN EMOSI

Mengulas lanjut, Dr Ryan berkata, langkah terbaik dalam menguruskan emosi adalah dengan mendapatkan tidur yang cukup, sekurang-kurangnya tujuh jam sehari.

Amalan tidur yang baik, katanya, berupaya memulihkan  fisiologi badan serta memainkan peranan penting dalam pengawalan emosi, fikiran dan memori seseorang.

Beliau menambah, bersenam secara teratur juga boleh memberi impak yang baik kerana mampu  mengurangkan rasa cemas serta bimbang dan dapat meningkatkan sistem pencernaan individu.

‘’Bersenam juga adalah aktiviti yang sangat digalakkan untuk menaikkan mood, meningkatkan tenaga dan meningkatkan fokus apabila kita sedang melakukan satu-satu tugasan.  

‘’Apabila emosi dan tekanan dapat diuruskan dengan baik, sistem pencernaan kita juga dapat berfungsi dengan baik kerana ia akan mengurangkan kerengsaan pada usus serta tubuh kita dapat menumpukan kepada penyerapan nutrien yang diperlukan,’’ katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button