Berita Utama

Jangan sampai kelonggaran visa pelancong China ancam kedaulatan negara

Syor 'tracing method' pantau kedudukan pelawat tinggal lebih masa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Ramadan 1444H, Sabtu – Keputusan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) melonggarkan syarat visa bagi pelancong dari China untuk memudahkan kemasukan mereka ke negara ini perlu diteliti dan diperhalusi semula.

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu, Shahbudin Embun berkata, usaha menarik pelancong luar adalah baik, namun haruslah tidak sesekali mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata, pihak pelaksana undang-undang dan badan berkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mesti profesional serta efisien dalam menghadapi kemasukan pelancong.

Mereka perlu mengambil tindakan berjaga-jaga dan bersedia dengan kemungkinan sebarang tindakan yang berniat mencabuli kelonggaran berkenaan, katanya.

“Program ini baik untuk merancakkan ekonomi negara kerana pelancong China dianggarkan berbelanja sebanyak RM2,500 seorang dalam sebulan. Sektor perhotelan, restoran dan tempat tarikan pelancongan akan dapat manfaat. 

“Masalahnya apabila mereka tidak keluar dari negara ini setelah habis tempoh. Ini disebabkan mereka mendapat kerjasama dari rakyat tempatan dan lemahnya penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini. 

Undang-undang cukup ketat, bagaimana pula penguatkuasaan?

Menurut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 membabitkan kesalahan kerana tinggal lebih masa ini membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM3,000.

Oleh itu, JIM mengingatkan semua pelawat asing supaya keluar sebelum pas lawatan mereka tamat.

Membahaskan perkara itu, Shahbudin berkata, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mengenakan hukuman tegas terhadap pelancong yang tinggal lebih masa, termasuk rakyat tempatan yang melindungi mereka. 

Namun, pihak berkuasa imigresen dan polis perlu lebih serius dalam melaksanakan undang-undang serta mengesan mereka yang tidak keluar dari negara ini kerana ia membabitkan isu keselamatan negara, tegasnya.

“Imigresen Malaysia wajib belajar dari imigresen Singapura atau Australia mengapa amat kurang kejadian ‘overstay’, niat menetap atau helah mencari kerja di negara tersebut begitu kecil bilangannya.

“Tentu ada rahsia mekanisme yang mereka lakukan. Kita tahu semua mereka mengunakan kaedah online tapi ia berkesan.

“Kita pula kes pendatang asing tanpa izin (PATI) pun berkali-kali tidak dapat kita hapuskan dan kita tanya diri kita ‘what is wrong with us’?,” katanya.

Beliau berkata, di zaman teknologi yang sudah maju kini, kerajaan sepatutnya memperkenalkan ‘tracing method’ untuk memantau kedudukan pelancong terutamanya setelah mereka tinggal lebih masa. 

“Contohnya stamping di pasport hendaklah diletakkan peranti yang boleh dikesan,” katanya.

Tahun lalu, dilaporkan bahawa lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.

Kelmarin, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata, Malaysia bakal menerima kemasukan 450,000 pelawat China selepas menandatangani perjanjian dengan dua agensi pelancongan negara itu.

Katanya, kerjasama itu turut meliputi beberapa kelonggaran yang akan ditentukan supaya kemasukan mereka lebih lancar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button