PDRM laksana Op Lancar, Op Selamat 20 sempena Aidilfitri
Fokus kelancaran perjalanan, minimumkan kes kemalangan: KPN

BANGI, 24 Ramadan 1444H, Sabtu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April, bagi memastikan kelancaran perjalanan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Op Lancar berfokus di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.
“Seluruh jentera PDRM di lapangan melibatkan anggota-anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Rondaan Bit serta Risikan dan Operasi akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta jalan perbandaran.
“PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada pihak RELA untuk membantu penugasan melancarkan aliran trafik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bersempena sambutan Aidilfitri juga, Acryl Sani berkata, PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melaksanakan Op Selamat 20 selama lapan hari bermula 20 hingga 27 April.
Bertemakan ‘Rumah selamat, sampai ke destinasi’, beliau berkata, fokus utama operasi itu adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah ketika musim perayaan.
“Juga dalam Op Selamat 20, PDRM melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes-kes pecah rumah melalui elemen kereta peronda (MPV), URB serta rondaan bit.
“… yang akan diatur gerak secara holistik dan sistematik di taman-taman perumahan, premis-premis perniagaan dan juga pusat ibadat di mana menjadi tumpuan orang ramai selain bagi mengurangkan beban kesesakan di taman-taman perumahan,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan udara oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) akan turut dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi-lokasi titik panas yang telah dikenal pasti, seterusnya menyalurkan info kepada elemen di lapangan untuk tindakan penyuraian trafik dilaksana.
Sehubungan itu, Acryl meminta pengguna jalan raya peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa melalui portal dan saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pihak konsesi lebuh raya, selain menggunakan aplikasi navigasi bagi merancang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat sama ada melalui rakaman video atau gambar mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang agar tindakan dapat diambil, juga amat dipuji dan dihargai.
“PDRM menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar bertimbang rasa dalam pergerakan lalu lintas, sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus di dalam pemanduan sepanjang masa agar hari raya Aidilfitri dapat disambut dalam suasana kekeluargaan dan kesejahteraan,” katanya.