25 terkorban pertempuran di Sudan
Pertikaian babitkan angkatan tentera dan RSF, 183 dilaporkan cedera

KHARTOUM, 25 Ramadan 1444H, Ahad – Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam pertempuran yang tercetus antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di ibu negara Khartoum.
Jawatankuasa Perubatan Sudan memaklumkan, 183 lagi mangsa turut cedera di Khartoum dan bandar-bandar lain.
Dalam satu kenyataan, RSF mendakwa tentera menyerang pasukannya di selatan Khartoum dan menyifatkan tindakan itu sebagai serangan kejam.
RSF mendakwa, tenteranya sudah menguasai lapangan terbang Khartoum, istana presiden, kediaman ketua tentera dan markas tentera Merowe di utara Sudan, namun dinafikan Angkatan Tentera Sudan.
Komander RSF Mohamed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai Hemedti mendakwa pasukannya telah menawan lapangan terbang Khartoum dan istana presiden.
Hemedti menyifatkan ketua tentera Jeneral Abdel Fattah al-Burhan sebagai seorang penjenayah yang melakukan rasuah dan berikrar untuk menamatkan perang ini dalam beberapa hari akan datang.
Pertikaian antara kedua-dua pihak meletus pada Khamis selepas pihak tentera mendakwa aktiviti RSF menyalahi undang-undang.
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat. -Agensi