
1. DI penghujung Surah al-Qadar, Allah mengungkapkan salam kesejahteraan buat mereka yang menghidupkan malan tersebut. Apakah yang dimaksudkan dengan salam kesejahteraan ini?
2. Menurut al-Sya’bi, perkataan salam tersebut adalah ucapan para malaikat (doa mereka) ke atas ahli masjid yang menghidupkan malam tersebut. Kata beliau:
هو تسليم الملائكة ليلة القدر على أهل المساجد من حيث تغيب الشمس إلى أن يطلع الفجر
“Salam tersebut adalah ucapan malaikat pada malam al-Qadar ke atas ahli masjid, bermula dari lenyapnya matahari (masuk maghrib), sehinggalah terbitnya fajar.” (Tafsir al-Baghawi)
3. Oleh yang demikian, rugilah buat mereka yang tidak menghidupkan sepuluh malam terakhir ini. Ini kerana ada dalam kalangan kita yang telah mula meninggalkan masjid. Mereka mengejar Lailatul Kamdar (bershoping di Kamdar) atau Lailatul Kandar (melepak di restoran nasi kandar).
4. Menurut al-Dahhak pula, pada malam tersebut, Allah menentukan Qadar (taqdir) segala kebaikan buat manusia. Ini kerana pada malam al-Qadar, ketentuan manusia ditulis pada malam tersebut. Mereka yang memperbanyakkan berdoa pada malam itu, Allah akan mencatatkan ketentuan yang sejahtera buat mereka. Kata al-Dahhak:
لا يقدر الله في تلك الليلة إلا السلامة
“Allah tidak menentukan segala ketentuan melainkan dicatatkan ketentuan yang baik dan sejahtera sahaja pada malam tersebut.” (Tafsir al-Qurtubi)
5. Oleh yang demikian, perbanyakkan berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah ini. Mudah-mudahan Allah menentukan segala kebaikan dan kesejahteraan sahaja buat diri kita dan memadamkan segala ketentuan yang tidak baik.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Majlis Ulama Isma