PRN: PAS Selangor ikrar tampil calon integriti, bebas rasuah
Amalkan budaya politik matang sepanjang tempoh kempen nanti

BANGI, 25 Ramadan 1444H, Ahad – PAS Selangor hanya akan meletakkan calon berintegriti, kompeten dan bebas rasuah sebagai pilihan terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pemilihan calon itu selaras titah peringatan Sultan Selangor yang menasihati rakyat supaya memilih pemimpin yang amanah, bertanggungjawab dan tidak mengamalkan rasuah, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
“PAS Selangor memandang serius nasihat bijaksana Tuanku yang mencerminkan hasrat Tuanku agar rakyat tidak tersalah pilih dalam PRN kelak.
“Justeru, PAS Selangor memberi komitmen akan membariskan calon-calon yang berintegriti, kompeten dan bebas rasuah sebagai pilihan terbaik buat rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyentuh isu penyatuan dan perpaduan ummah khusus di kalangan umat Melayu Islam di negeri ini.
Baginda menzahirkan kebimbangan akan perpecahan dalam kalangan orang-orang Melayu akibat perbezaan pendirian politik yang boleh mengakibatkan orang Melayu di negara ini akan terus lemah dan akan hilang kuasa memerintah.
Baginda turut mengingatkan semua pihak agar berhemah semasa berkempen dalam PRN nanti dan mematuhi segala undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Atas dasar itu, Dr Ahmad Yunus berkata, demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menghormati proses demokrasi, PAS berikrar mengamalkan budaya politik yang matang dan sejahtera sepanjang tempoh kempen PRN nanti.
PAS Selangor juga menyeru agar pihak lain turut mematuhi peringatan Tuanku tersebut.
Pada masa sama katanya, PAS Selangor akur dan turut berkongsi kebimbangan Tuanku dengan menyeru orang-orang Melayu supaya memberi sokongan ke atas usaha menyatupadukan ummah demi membina kekuatan politik umat Melayu dalam negara.
“Dengan cara ini kuasa memerintah akan kekal di tangan mereka dan tidak jatuh ke pihak lain,” katanya.