Berita Utama

Isu Laut China Selatan: Kenapa masih nak runding? Jangan sampai tergadai begitu saja

Apa akan berlaku kepada Petronas? Diberhentikan atau dikecilkan?

BANGI, 26 Ramadan 1444H, Isnin – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuntutan bertindih China di Laut China Selatan dilihat sangat mengelirukan dan membimbangkan, kata Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan, Petronas akan terus melaksanakan kerja-kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan, namun menjelaskan kerajaan masih terbuka untuk rundingan sekiranya China merasakan kawasan itu adalah wilayah mereka.

“Kenapa masih nak bincang dan berunding? Apakah PM mendapat penjelasan yang kurang tepat oleh Kementerian Luar? Adakah kerana PM terpesona dengan komitmen China untuk hantar lebih dari 360,000 pelancong ke Malaysia hingga ‘terpaksa’ buka pintu perbincangan?

“Bila ditekan, PM mengatakan kalau negara tidak mahu berbincang, adakah kita hendak berperang dengan China?

“Ini suatu jawapan yang sangat simplistik, kehabisan modal dan berjiwa lemah. Ketegasan bukan bermakna hendak berperang,” soal Aminuddin.

Beliau mempersoal makna rundingan dalam isu ini, kerana ia jelas dalam konteks perairan negara mengikut undang-undang antarabangsa.

“Hendak dirunding apa lagi? Yang kita bimbang apabila diadakan rundingan, nanti negara kita akan ditekan untuk memberikan hak China ke atas perairan tersebut dan akhirnya macam-macam tergadai begitu sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin turut menyifatkan kenyataan Anwar sebagai jawapan yang sangat simplistik atau kehabisan modal dan berjiwa lemah.

Justeru beliau menasihati Anwar supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana mampu memberi kesan besar bukan sahaja kedaulatan negara tetapi dibimbangi mencetus huru-hara.

Pada masa sama, beliau menuntut jawapan situasi yang akan berlaku kepada Petronas yang merupakan sumber kewangan terpenting negara.

“Apakah operasi-operasinya akan terpaksa diberhentikan atau dikecilkan kerana hasil rundingan itu nanti? Apa impak kepada pendapatan dan kewangan negara?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button