Berita UtamaIstimewa

Mangsa gempa bumi Syria hidup dalam khemah

Klinik, hospital tiada bekalan ubatan mencukupi rawat mangsa

BANGI, 26 Ramadan 1444H, Isnin – Mangsa gempa bumi Syria menghadapi kesukaran terpaksa tinggal di dalam khemah sekitar wilayah Azaz, Atma dan Afrin, malah berkongsi tempat yang sama di tapak-tapak perkhemahan.

Ketua Misi Ramadan Bersamamu Syria 2023, Ismail Muhammad Jufri berkata, penduduk di kawasan perkhemahan menjadi semakin padat berikutan mangsa-mangsa gempa yang tinggal di tapak perkhemahan sama.

“Mereka terpaksa hidup sama seperti pelarian-pelarian dalaman yang lain, malah berkongsi tempat yang sama di tapak-tapak perkhemahan. Ini menjadikan penduduk di perkhemahan semakin padat.

“Kehidupan dalam perkhemahan bukan perkara yang mudah. Kurang bekalan makanan, tahap kebersihan yang sangat rendah, dan tiada privasi. Pada musim sejuk, mereka menggigil kesejukan, pada musim panas mereka menderita kepanasan,” katanya.

Beliau menambah, keadaan hospital dan klinik pula amat menyedihkan dan memerlukan jumlah ubat-ubatan dalam kuantiti yang banyak bagi merawat mangsa-mangsa gempa.

Ketua pejabat kesihatan daerah Janderes, Dr Shamsuddin turut berkongsi bahawa sebanyak 80% bangunan rumah di Janderes terpaksa dirobohkan dan perlukan pembinaan semula kesan dari kejadian gemba bumi yang lalu.

Pada 6 Februari lalu, gempa bumi kuat melanda Turkiye-Syria berukuran 7.7 magnitud dengan kedalaman cetek 10 kilometer sehingga meragut puluhan ribu nyawa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button