Berita Utama

Peruntukan khas wajar tangani kekurangan 20,000 guru

Pastikan agenda pendigitalan dijayakan sepenuhnya 2024

BANGI, 10 Rabiulawal 1445H, Selasa – Kerajaan Malaysia Madani wajar menyediakan peruntukan khas bagi tujuan lantikan guru secara ‘one off’ dalam usaha menyelesaikan kekurangan 20,000 guru di negara ini.

Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, kekurangan guru telah menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan sekali gus menyebabkan pelajar ketinggalan.

Justeru katanya, peruntukan khas perlu disediakan bagi memastikan agenda pendigitalan pendidikan dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun 2024.

“Setiap sekolah perlu mempunyai capaian internet yang baik untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dan Skim Bantuan Peranti kepada lebih ramai murid dari keluarga miskin perlu disediakan.

“Peruntukan khas juga untuk program latihan meningkatkan kemahiran pedagogi guru berteraskan teknologi maklumat dan kandungan digital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, pertambahan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi membaik pulih semua makmal sains supaya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) harus dipertingkatkan.

Ia termasuk menyediakan padang sekolah dan peralatan sukan yang mencukupi supaya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau turut mencadangkan penambahan bilangan sekolah rendah dan menengah baharu khususnya di kawasan bandar yang sedang berhadapan dengan sekolah sesak murid yang kritikal.

Pada masa sama, kerajaan juga wajar menyediakan lebih banyak peluang pengajian Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk pelajar lepasan SPM.

Katanya, kerajaan perlu sediakan insentif bagi menarik dan melibatkan lebih banyak pihak swasta dalam menyediakan peluang kerjaya dalam bidang TVET dan teknikal.

“Program TVET juga perlu dipelbagaikan bentuk kursus yang ditawarkan sesuai dengan keperluan semasa.

“Ia termasuk memperkenalkan kemahiran teknologi teknikal dalam bidang pengajian TVET pertanian dan penternakan,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button