Presiden Palestin ke lawat Arab Saudi bincang isu Baitulmaqdis
Mahmoud mahu bincang keganasan rejim Israel di Masjid al-Aqsa

RAMALLAH, 26 Ramadan 1444H, Isnin – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan berkunjung ke Arab Saudi untuk berbincang dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud serta Putera Mahkotanya, Mohammed bin Salman berkaitan keganasan Israel di Baitulmaqdis, hari ini.
Bercakap kepada stesen radio rasmi Palestine Voice, Duta Besar Palestin di Riyadh, Basem Al-Agha berkata, Abbas akan membincangkan perkembangan Palestin dengan pegawai Saudi semasa lawatannya.
Tambah beliau, Abbas juga akan berbincang mengenai jenayah Israel di Masjid Al-aqsa dan Gereja Makam Suci di Baitulmaqdis Timur yang diduduki serta rakyat Palestin yang menderita akibat pencerobohan haram Israel.
Jumaat lalu, Arab Saudi menjadi tuan rumah mesyuarat peringkat menteri Mesir, Jordan, Oman, Kuwait, Bahrain, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu.
Kesemua negara tersebut mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas jemaah di kompleks Al-Aqsa dan langkah-langkah yang menjejaskan penyelesaian dua negara.
Ketegangan memuncak di seluruh wilayah Palestin minggu lalu selepas tentera Israel secara paksa menghalau jemaah keluar dari kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.
Serangan Israel ke atas masjid itu mencetuskan tembakan roket dari Semenanjung Gaza dan Lubnan, dengan Israel bertindak balas melalui serangan udara dan meriam. – Agensi