Berita Utama

Sanusi kekal MB jika PN menang di Kedah

PH sudah tiada modal jatuhkan pengaruh PN yang dapat sokongan pengundi Melayu

BANGI, 26 Ramadan 1444H, Isnin – Perikatan Nasional (PN) Kedah akan mengekalkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, Sanusi juga akan menjadi ‘Poster Boy’ pada PRN yang dijangka berlangsung Julai depan.

“Insya Allah sokongan berterusan daripada rakyat Kedah akan menjadi pemangkin kepada kejayaan PN di negeri ini khususnya.

“…dan tidak mustahil, misi ini akan turut memberikan impak langsung kepada negeri lain yang ditadbir PH (Pakatan Harapan) seperti Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mengakui ketegasan Sanusi menegakkan kebenaran penyebab tekanan politik berterusan terhadap Menteri Besar Kedah itu ketika ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan hal itu berlaku kerana PH sudah tidak mempunyai modal untuk menjatuhkan pengaruh PN yang mendapat dukungan kuat masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Jadi, langkah pembunuhan karakter terhadap Muhammad Sanusi dilakukan kerana beliau juga menjadi faktor penting kemenangan PN khususnya di Kedah,” katanya.

Selain itu, katanya, PAS Kedah yakin segala perjalanan pentadbiran dan pelaksanaan dasar negeri berada dalam landasan terbaik.

“…ini seiring dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035, malah hasrat ‘The Greater Kedah’ yang digagaskan beliau tidak mustahil akan direalisasikan kelak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button