Berita Utama

1,000 pemuda meriahkan Program Iktikaf Perdana ISMA seluruh negara

Program bentuk generasi muslim kuat iman, sentiasa terbuka beri khidmat kepada masyarakat

BANGI, 27 Ramadan 1444H, Selasa – Seramai 1,000 pemuda dari seluruh negara menghadiri Program Iktikaf Perdana Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang diadakan bermula 14 April sehingga 16 April 2023.

Ketua Pemuda ISMA, Mohammad Riduan Muhammad berkata, jumlah penyertaan yang begitu memberangsangkan ini telah menunjukkan betapa besar minat dan semangat para pemuda ISMA dalam meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah SWT.

Beliau berkata, melalui program itu peserta diberikan peluang untuk mengasingkan diri di dalam masjid dan menumpukan perhatian pada ibadah dan doa.

Selain itu, mereka turut mengikuti pelbagai pengajaran agama dan penghayatan mengenai peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku di bulan Ramadan, termasuk peristiwa perang Badar.

“Perang Badar adalah antara sejarah yang penting kepada setiap individu muslim yang menandakan kemenangan bagi umat Islam.

“Dalam kaitannya dengan persiapan sebagai seorang pemuda muslim untuk melaksanakan usaha amar maaruf nahi mungkar, perang Badar mengajarkan nilai-nilai penting seperti keberanian, pengorbanan dan perjuangan untuk kebenaran, serta bersedia melawan segala ancaman yang menggugat kedaulatan Islam.

“Kehadiran pemuda kita yang telah beriktikaf di masjid adalah bukti nyata dari pembinaan susuk tubuh pemuda yang bersih jati diri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Riduan berkata, program iktikaf ISMA memiliki objektif yang lebih luas, iaitu membentuk sebuah ummah fadhilah, atau masyarakat yang unggul dalam hal moral dan spiritual.

Selain mengajarkan nilai-nilai Islam serta memperkuatkan hubungan dengan Allah, beliau menjelaskan, program ini bertujuan membentuk generasi muslim yang kuat iman, dan sentiasa terbuka memberi khidmat kepada masyarakat dengan melakukan amar maaruf dan nahi mungkar.

“Berpaksikan aspirasi pembinaan ummah fadhilah, ISMA berharap dapat membentuk sebuah masyarakat yang damai, adil, dan bermaruah.

“Hal ini dapat dicapai dengan memacu pemuda-pemuda muslim supaya memiliki kemampuan untuk memerangi kemungkaran dan memperjuangkan kebenaran.

“Dalam jangka panjang, hal ini dapat membantu membangunkan kedaulatan negara kita berdasarkan pada nilai-nilai Islam dan memperkuatkan kedudukan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button