Dunia

11 maut strok haba di India, pembangkang dakwa kerajaan cuai

Sejuta rakyat tunggu majlis anugerah kerajaan di bawah terik matahari

NEW DELHI, 27 Ramadan 1444H, Selasa – Sekurang-kurangnya 11 orang maut akibat strok haba di India selepas sejuta hadirin dianggarkan menunggu selama berjam-jam di bawah terik matahari ketika majlis anugerah tajaan kerajaan.

Media tempatan melaporkan, kira-kira 20 orang turut dirawat di hospital dan 300 yang lain tidak sihat susulan acara yang berlangsung berhampiran bandar Mumbai pada Ahad.

Peningkatan jumlah itu berikutan suhu mencecah hampir 38 darjah Celsius dengan tahap kelembapan yang tinggi.

Pegawai kanan kerajaan yang menghadiri majlis itu, termasuk Menteri Dalam Negeri, Amit Shah memuji orang ramai yang sanggup menunggu lama di bawah sinar matahari.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Menteri negeri Maharashtra, Eknath Shinde menyifatkan kejadian itu sebagai menyedihkan serta membimbangkan, dan berjanji akan memberikan pampasan kepada keluarga mangsa.

Parti Bharatiya Janata yang memerintah India berkata, kira-kira sejuta orang menghadiri acara itu.

Sementara, pembangkang, Parti Kongres menuduh kerajaan cuai dan menganggap ia patut dituduh sebagai jenayah.

Gelombang haba telah membunuh lebih 6,500 orang di India sejak 2010 dan tahun lalu mencatatkan rekod suhu tertinggi di seluruh negara.

Pihak berkuasa di negeri timur Bengal Barat mengumumkan penutupan selama seminggu semua sekolah, kolej dan universiti mulai Isnin berikutan keadaan cuaca panas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button