Tanah runtuh di Pakistan ragut dua nyawa
20 trak kontena tertimbus, jumlah korban dijangka meningkat

ISLAMABAD, 27 Ramadan 1444H, Selasa – Sekurang-kurangnya dua terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam kejadian tanah runtuh di barat laut Pakistan, awal hari ini.
Menurut agensi berita Anadolu, kira-kira 20 trak yang membawa kontena dan barangan tertimbus tanah runtuh berhampiran Torkham, persimpangan utama antara Pakistan dan Afghanistan.
Jurucakap perkhidmatan Rescue 1122, Bilal Ahmed Faizi berkata, sekurang-kurangnya lapan mangsa berjaya diselamatkan dan operasi menyelamat masih dijalankan.
“Kejadian tanah runtuh ini besar dan kira-kira 20 atau lebih trak dan kontena yang tertimbus. Kami tidak tahu berapa ramai orang di dalam trak berkenaan,” katanya.
Bilal berkata, dua kematian telah disahkan setakat ini dan menjangkakan jumlah korban mungkin meningkat.
Katanya, insiden itu turut mengakibatkan laluan ditutup kepada lalu lintas dan ratusan kenderaan tersekat di kedua-dua belah sempadan. – Agensi