Berita Utama

JPJ kuat kuasa 7 kesalahan tak dibenar kompaun

Ops Bersepadu Aidilfitri fokus 76 lokasi ‘black spot’ di jalan persekutuan

KAJANG, 28 Ramadan 1444H,  Rabu – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkuasakan tujuh kesalahan yang tidak dibenarkan untuk dikompaun sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kesalahan tersebut membabitkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Selain itu, kesalahan lain adalah tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

“Turut dikuatkuasakan ialah Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan di jalan raya iaitu pada dua hari sebelum perayaan iaitu 20 dan 21 April serta dua hari selepas perayaan iaitu pada 24 dan 25 April, bertujuan mengelakkan risiko berlakunya nahas di jalan raya akibat percampuran aliran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, “katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program keselamatan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri di gerai juadah Ramadan Taman Prima Saujana, di sini, semalam.

Sementara itu, Hasbi berkata, seramai 2,000 anggota penguat kuasa JPJ terlibat dalam Ops Bersepadu yang bermula hari ini sehingga 27 April ini bersempena sambutan Aidilfitri dengan pendekatan operasi memfokuskan kepada 76 lokasi black spot di jalan persekutuan yang menjadi antara kawasan yang mempunyai kadar kemalangan tertinggi. 

Beliau berkata, selain itu, pendekatan menerusi strategi covert dan overt termasuk penggunaan dron di lokasi tertentu bagi memantau dan merakam etika pemanduan yang tidak selamat oleh pemandu serta pelanggaran peraturan kesalahan jalan raya, turut akan dilaksanakan JPJ.

Katanya, antara penguatkuasaan lain yang dilaksanakan adalah dengan melakukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres, pemantauan dan penguatkuasaan di jajaran black spot kemalangan, pelaksanaan persepsi ditangkap melakukan kesalahan (POBC) dan Ops Khas Motosikal.

“JPJ juga mengadakan Pra Ops Hari Raya bermula 14 April hingga semalam yang melibatkan pemeriksaan bas di 76 buah depoh dan 28 terminal bas utama di seluruh negara bagi memastikan bas sentiasa berada dalam keadaan road worthiness serta melakukan pemeriksaan mengejut di Stesen Penguatkuasa, Hentian Rehat dan Rawat serta Hentian Sebelah di lebuhraya seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim yang turut hadir pada program berkenaan, berkata keanggotaan dalam Ops Bersepadu akan ditambah mengikut keperluan dan boleh mencecah sehingga 2,300 hingga 2,500 anggota.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button