Sindiket ‘Bahnu Internationals’ seludup kanak-kanak Sri Lanka tumpas: JIM
Suspek suami isteri ambil kesempatan manipulasi maklumat dari keluarga miskin

KUALA LUMPUR, 28 Ramadan 1444H, Rabu – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan kanak-kanak warganegara Sri Lanka ke negara Eropah menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menahan pasangan suami isteri warganegara Malaysia yang merupakan dalang sindiket ini pada 12 April 2023 di Kuala Lumpur.
Katanya, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) mengesan Modus Operandi sindiket bergelar ‘Bahnu Internationals’ yang menggunakan ibu atau bapa rakyat Malaysia dari keluarga miskin yang mempunyai anak di bawah umur 12 tahun untuk memanipulasi maklumat diri kanak-kanak tersebut.
“Sindiket ini akan memperdaya ibu bapa rakyat Malaysia supaya membawa sijil lahir anak bawah 12 tahun hadir ke pejabat Imigresen seolah-olah untuk membuat PMA untuk anak sendiri.
“Tetapi semasa proses permohonan di kaunter Imigresen, kanak-kanak dari Sri Lanka yang hampir sama umur dengan anak sebenar akan dibawa ke hadapan kaunter bagi tujuan rakaman cap jari dan proses ambil gambar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasangan suami isteri yang mengetuai sindiket ini juga bertindak sebagai ‘transporter’ dengan membawa kanak-kanak Sri Lanka yang telah berjaya memperolehi PMA ke negara Eropah.
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti tempoh sindiket ini telah beroperasi dan berapa ramai kanak-kanak yang telah terlibat.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati sindiket ini menerima upah sebanyak EUR 30,000 hingga EUR 50,000 (RM145,906.18 hingga RM243,176.97) bagi setiap seorang kanak-kanak Sri Lanka yang diuruskan permohonan PMA dan diiring ke negara Eropah.
“Sindiket ini berjaya ditumpaskan semasa pasangan ini hadir ke JIM WPKL untuk tujuan mendapatkan PMA bagi seorang kanak-kanak Sri Lanka.
“Tindakan peka dan pantas Pegawai Imigresen di Bahagian Pasport yang menyedari serta mengesan terdapat keraguan dalam permohonan PMA kanak-kanak tersebut telah mengambil tindakan lanjut menemubual kanak-kanak tersebut kerana mendapati ada perbezaan rupa paras yang ketara dengan penjaga dan gagal bertutur Bahasa Malaysia,” katanya.
Rusli memaklumkan, pasangan suami isteri yang masing-masing berumur 37 dan 26 tahun ini, akan dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 pada hari ini di Mahkamah Seksyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
“Jabatan Imigresen menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran dan tipu helah sindiket.
“Jika terdapat sebarang keraguan berhubung kait dengan Imigresen, orang ramai boleh merujuk terus ke Jabatan ini atau mendapatkan maklumat terkini melalui laman web serta akaun media sosial rasmi JIM,” katanya.