Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Wujudkan polisi khusus selaras kerja selenggara lebuh raya

Syor penyelenggaraan dilakukan antara jam 12 malam hingga 5 pagi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 28 Ramadan 1444H, Rabu – Punca kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang dilakukan di musim perayaan perlu dikenalpasti kerana ia bukan sahaja menyebabkan kesesakan teruk, bahkan turut memberi kesan kepada kos dan masa pengguna.

Pakar kejuruteraan pengangkutan, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pihak pengendali lebuh raya sepatutnya bertanggungjawab memastikan tiada perkara yang akan mengurangkan kapasiti semua keadaan, terutama apabila peningkatan mendadak aliran lalu lintas ketika musim perayaan sudah dijangka dari awal.

Beliau berkata, pemikiran logik akan difahami semua pihak terutamanya para profesional di pihak pengendali jalan atau lebuh raya ini.  

“Sememangnya sebarang perkara yang mengurangkan kapasiti jalan raya akan mengakibatkan fenomena yang dipanggil ‘bottleneck’, dan ini akan mengakibatkan kesesakan kerana aliran lalu lintas akan terganggu akibat pengurangan kapasiti. 

“Kerja-kerja penyelenggaraan jalan memang akan menghasilkan bottleneck ini. Namun, persoalannya adalah kenapa penyelenggaraan masih berlaku dalam musim perayaan ini? 

“Bagi saya ia menunjukkan kegagalan dalam pengurusan projek. Audit perlu dilakukan untuk mengetahui kenapa ia berlaku dan untuk elakkan kejadian ini daripada berulang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Prof Ahmad Farhan berkata, beberapa perkara boleh menjadi punca permasalahan ini, antaranya perancangan yang tidak peka kepada waktu-waktu puncak.

Selain itu, katanya, proses perolehan dan lantikan panel kontraktor yang tidak berkesan sehingga mengakibatkan kerja penyelenggaraan tergendala boleh juga terjadi.

“Antara punca lain juga syarikat yang dilantik telah gagal menjalankan kerja mengikut jadual,” katanya.

Justeru, beliau mengesyorkan supaya diwujudkan polisi di mana semua kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya atau jalan (tidak termasuk hal kecemasan dan mendesak) dilakukan antara 12 tengah malam hingga 5 pagi sahaja.

“Dan kontraktor perlu habiskan kerja dalam tempoh ni,” katanya lagi.

Kelmarin, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Timur berhampiran Bentong, dilaporkan mengalami kesesakan teruk akibat kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya.

Menurut akaun Twitter Lebuhraya Pantai Timur (LPT), trafik sesak berlaku sepanjang 11.7 kilometer (km) bermula dari KM20.1 arah timur sehingga ke lokasi kerja-kerja penyelenggaraan.

Susulan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya menghalang kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya serta merta bermula semalam hingga 7 Mei ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia membolehkan melancarkan aliran trafik susulan orang ramai dijangka pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button