Berita Utama

6,000 petugas ditempatkan bantu pengguna lebuhraya PLUS

Langkah proaktif diambil pastikan perjalanan selamat sepanjang Aidilfitri

BANGI, 29 Ramadan 1444H, Khamis – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengambil langkah proaktif untuk memastikan pengguna lebuh raya rangkaiannya menikmati perjalanan selamat dan selesa sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu, lebih 269 merangkumi pasukan PLUSRonda dan LPT2Ronda serta lebih 500 pasukan kecemasan (ERT) akan ditugaskan untuk memberikan bantuan di lebuh raya.

PLUS dalam kenyataan memaklumkan, trak tunda dan kren juga akan ditempatkan di lokasi-lokasi kritikal bagi tujuan mengalihkan kenderaan yang terkandas serta pembersihan laluan lebuh raya.

“PLUS juga turut menempatkan lebih 6,000 petugas dari keseluruhan ekosistem lebuh rayanya di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan laluan utama lebuh raya meliputi anggota peronda, pembantu khidmat pelanggan dan penyelia plaza tol.

“Ini termasuk petugas Pusat Pemantauan Trafik (TMC), anggota RELA, Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) dan kakitangan penyelenggaraan untuk bersedia membantu pengguna lebuh raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi mempertingkatkan tahap keselamatan, PLUS turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta St John Ambulans untuk sebarang bantuan kecemasan di lebuh raya.

“Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan juga akan dihentikan dari 18 April hingga 7 Mei bagi memastikan perjalanan yang lancar untuk semua.

“Layari https://bit.ly/3ouRWfs untuk maklumat lanjut berkenaan persediaan PLUS dalam memastikan kelancaran trafik dan keselesaan pengguna lebuh raya sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Terdahulu, PLUS menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya rangkaiannya setiap hari sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button