Cuti tambahan tak rugikan sektor swasta
Kerajaan mahu wujudkan suasana perayaan pada rakyat

KUCHING, 29 Ramadan 1444H, Khamis – Langkah pemberian satu hari kelepasan am tambahan sempena Aidilfitri bukan keputusan populis dan kerajaan tidak berniat untuk merugikan sektor swasta, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, pengumuman cuti tambahan berkenaan bertujuan membantu dan mewujudkan suasana perayaan kepada rakyat menjelang sambutan Aidilfitri yang dinanti-nantikan.
“Saya tidak nampak keputusan ini mengganggu sektor swasta dan saya kira suasana perayaan ini dirasai oleh semua masyarakat.
“Jadi ia tidak menyusahkan dan merugikan (sektor swasta) dan ia sama seperti pemberian Tol RAHMAH percuma selama empat hari yang bertujuan membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama pelanggan dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. Datuk Ameer Ali Mydin dalam temu bual di rancangan televisyen tempatan berkata, pengumuman cuti am itu menyebabkan syarikatnya menanggung kerugian RM500,000.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hari kelepasan am tambahan itu bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk sambutan hari raya dan pulang ke kampung halaman.
Pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Aidilfitri akan dibuat pada pukul 8 malam ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. – Bernama