Berita Utama

Kedah galak jemaah pakai pelitup muka ketika solat Aidilfitri

Arahan selaras saranan KKM, ambil kira peningkatan kes COVID-19

BANGI, 29 Ramadan 1444H, Khamis – Kedah menggalakkan jemaah yang akan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di semua masjid dan surau seluruh negeri untuk memakai pelitup muka, bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada Jabatan Kesihatan negeri berkenaan.

Pengarah JHEAIK, Datuk Abd Ghani@Zulkifli Zainudin berkata, arahan itu selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya semua mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan penularan virus COVID-19 dapat dikawal dan dicegah.

“Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, dalam masa sama kes-kes positif COVID-19 belum lagi reda sepenuhnya, bahkan masih berlaku peningkatan kes positif di seluruh negara.

“Dengan mengambil kira situasi terkini, di samping akan berlaku peningkatan kontak sosial antara individu di mana umat Islam seluruh pelusuk negara akan pulang ke kampung dari pelbagai lokasi dan tempat, maka sewajarnya keadaan ini dipandang serius oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya prihatin dan mengambil langkah sewajarnya bagi membasmi wabak penyakit ketika menyambut hari raya serta penganjuran rumah terbuka.

“Semoga usaha ini dapat membantu pihak kerajaan dalam membanteras wabak serta menamatkan rantaian virus COVID-19 dari merebak.

“Mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia amnya dan di negeri Kedah khususnya dipelihara oleh Allah dari musibah dan dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh ketakwaan, sejahtera serta aman damai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button