Berita UtamaUncategorized

Laluan alternatif Gua Musang, Kelantan-Kuala Lipis sesak

Ada yang terpaksa tempuh 11 jam dari Kuala Lumpur ke Gua Musang

GUA MUSANG, 29 Ramadan 1444H, Khamis – Laluan alternatif Gua Musang, Kelantan-Kuala Lipis, Pahang mulai sesak sejak pagi tadi berikutan peningkatan jumlah kenderaan warga perantau yang pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Aidilfitri.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati beberapa laluan yang mengalami kesesakan adalah Hentian Gua Musang dan persimpangan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Pekerja swasta Amila Abdullah, 25, yang ingin pulang ke Tanah Merah berkata, beliau terpaksa menempuh perjalanan selama 11 jam dari Cheras, Kuala Lumpur untuk sampai ke Gua Musang.

“Terdapat beberapa kawasan mengalami kesesakan jalan raya yang teruk seperti Gombak (Selangor), Raub, Kuala Lipis dan Merapoh (Pahang),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hentian Gua Musang, di sini hari ini. 

Bagi Shahrul Ridhwan Abd Wahab, 37, pula berkata, keputusan menggunakan laluan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang adalah tepat kerana aliran trafik di laluan tersebut bergerak dengan lancar. 

“Alhamdulillah perjalanan sangat lancar, kenderaan juga tidak banyak melalui jalan Cameron Highlands, Pahang dan saya harap dapat sampai ke Pasir Mas dengan selamat,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button