Berita Utama

Laut China Selatan: Negara rugi jika buka pintu rundingan dengan China

PM patutnya tegas dengan fakta kawasan digazet adalah hak Malaysia

BANGI, 29 Ramadan 1444H, Khamis – BERJASA menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu tuntutan bertindih China di Laut China Selatan sebagai jawapan untuk menutup kelemahan dan kesilapannya ketika berdepan Presiden Xi Jinping.

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berkata, sebagai Perdana Menteri, Anwar sepatutnya mengelakkan daripada mengungkap kenyataan yang seolah-olah membuka pintu rundingan terhadap isu berkaitan kedaulatan negara.

Beliau berkata, Anwar sepatutnya mempertegaskan dengan fakta kawasan yang telah digazetkan oleh United Nation Convention on The Law of The Sea 1982, bahawa ianya adalah kawasan Malaysia.

“Sepatutnya Perdana Menteri memberikan fakta itu kepada China supaya jangan berlaku lagi pertikaian di situ. 

“Perdana Menteri dengan mudah membuka pintu rundingan seolah-olah buka pintu untuk China berunding dalam kawasan yang telah pun digazetkan, bahawanya itu adalah Malaysia punya yang telah pun diperakui,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar berhubung hasrat kerajaan berbincang dengan China berkait tuntutan bertindih Beijing di Laut China Selatan.

“Kawasan ini bertindih, saya kata okay, kalau begitu boleh bincang, kalau tak nak bincang, nak perang?,” kata Anwar dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Kenyataan Anwar itu dipercayai sebagai membidas kembali Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwanya cuai berhubung isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Zamani berkata, meskipun negara kecil, Anwar dengan kewibawaan sebagai Perdana Menteri sepatutnya berasa izzah mengatakan kawasan yang diterokai Petronas itu sebagai kawasan yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Kewibawaa itu bukan pada kepetahan lidah bercakap tanpa teks. Ini kerugian besar kepada negara kita jika buka pintu rundingan selama ini kita punya, dibimbangi kita akan berkongsi.

“Saya cukup bimbang kalau berunding, dilonggarkan syarat, buka pintu sehingga orang luar masuk ambil dan kuasai barang kita,” katanya.

Berita berkaitan:

Isu Laut China Selatan: Kenapa masih nak runding? Jangan sampai tergadai begitu saja

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button