Malaysia bimbang perkembangan politik di Tunisia
Harap Rached Ghannouchi diberi pertimbangan khas selepas ditahan

BANGI, 29 Ramadan 1444H, Khamis – Malaysia dalam kenyataan hari ini menzahirkan kebimbangan dan kegusaran terhadap perkembangan mutakhir politik di Tunisia.
Meskipun ia isu dalaman, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia mengikuti secara dekat perkembangan semasa di negara itu, termasuk penahanan beberapa individu utama antaranya pemimpin Ennahda yang juga bekas Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Tunisia, Rached Ghannouchi.
“Melihat kepada tahap kesihatan dan umur beliau, kami berharap agar pertimbangan khas dan belas ihsan diberikan kepada Rached Ghannouchi di bulan Ramadan yang mulia ini.
“Malaysia berharap perdamaian dan konsensus nasional akan menjadi jalan ke arah membawa kemajuan dan kemakmuran bagi rakyat Tunisia.
“Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Tunisia dan rakyatnya,” katanya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan pihak polis Tunisia menutup ibu pejabat pembangkang haluan Islam terkenal, Ennahdha selain pejabat parti itu di seluruh negara berkenaan.
Tindakan yang tidak dijangka itu juga berlaku sehari selepas pihak berkuasa telah menahan pemimpin utama Ennahdha, Rached Ghannouchi di kediamannya sendiri di ibu kota Tunis.
Ennahdha yang dianggap sebagai beraliran sederhana Islam merupakan parti paling banyak memenangi kerusi sebelum Presiden Kais Saied membubarkan Parlimen pada Julai 2021.