Dunia

UNICEF bimbang persepsi terhadap kepentingan imunisasi menurun

Gelombang kematian akibat campak, difteria meningkat jika tak dicegah

LONDON, 29 Ramadan 1444H, Khamis – Orang ramai di seluruh dunia hilang keyakinan terhadap kepentingan vaksin rutin kanak-kanak bagi penyakit ‘pembunuh’ seperti campak dan polio ketika pandemik COVID-19.

Menurut laporan baharu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), 52 daripada 55 negara yang dikaji, persepsi awam terhadap vaksin untuk kanak-kanak menurun antara tahun 2019 dan 2021.

Data itu adalah isyarat amaran yang membimbangkan berhubung peningkatan keraguan vaksin di tengah-tengah penularan maklumat salah, kepercayaan terhadap kerajaan berkurang dan polarisasi politik.

“Kami tidak boleh membiarkan keyakinan terhadap imunisasi rutin menjadi mangsa wabak itu.

“Jika tidak, gelombang kematian seterusnya mungkin akan lebih ramai kanak-kanak yang menghidap campak, difteria atau penyakit lain yang sepatutnya boleh dicegah,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell.

Katanya, perubahan dalam persepsi itu amat membimbangkan, kerana ia berlaku selepas penurunan tertinggi yang berterusan dalam imunisasi kanak-kanak untuk generasi di fasa pandemik COVID-19.

Secara keseluruhan, 67 juta kanak-kanak terlepas satu atau lebih jadual imunisasi rutin mereka yang berpotensi menyelamatkan nyawa ketika wabak itu.

Laporan UNICEF berkata, gambaran mengenai keyakinan terhadap vaksin berbeza-beza di seluruh dunia.

Di negara termasuk Papua New Guinea dan Korea Selatan, persetujuan dengan kenyataan vaksin penting untuk kanak-kanak, menurun sebanyak 44 peratus dan lebih satu pertiga di Ghana, Senegal serta Jepun.

Di Amerika Syarikat (AS) juga merosot sebanyak 13.6 peratus, sementara di India, China dan Mexico, keyakinan secara amnya kekal sama atau meningkat.

Walaupun keyakinan menurun, lebih 80 peratus responden di hampir separuh negara yang dikaji masih menganggap vaksin rutin kanak-kanak adalah penting.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button