RM15.75 juta untuk sekolah persendirian Cina, adilkah?
Terjemahkan nilai keadilan pada semua, kalau tidak buang saja 'Madani'

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 30 Ramadan 1444H, Jumaat – “Tahniah Dong Zong kerana kuasa kamu telah berjaya meruntuhkan takhta keegoan menteri.
“Persoalanya, apa makna kenyataan menteri sebelum ini? Sudah ‘U-turn’ kah? Ikhlas atau hanya kenyataan politik? Atau sekadar mahu menipu rakyat?”
Demikian persoalan dibangkitkan Jurucakap Jawatankuasa Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya mengulas laporan berita yang memaklumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM15.75 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dilaporkan berkata, permohonan peruntukan itu dibuat Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim dan ia diluluskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan.
“Setiap sekolah menerima RM250,000. Ia akan disalurkan kepada sekolah terbabit, dua minggu selepas cuti Hari Raya,” kata Loke.
Menganggap keputusan itu ‘double standard’, Aminuddin berkata, kebanyakan sekolah persendirian Cina memang sudah terlalu dan jauh lebih baik dari segi infrastruktur berbanding dengan sekolah-sekolah swasta dan institusi pendidikan tahfiz, apatah lagi sekolah-sekolah milik kerajaan.
“Jadi bagaimana yang sudah baik itu dibantu sedemikian istimewa tapi yang masih daif dibiarkan?
“Jangan nanti rakyat melihat seperti ‘kera di hutan disusukan sedangkan anak di rumah mati kelaparan’
“Kalau kerajaan benar-benar adil maka sepatutnya sekolah persendirian lain yang semuanya berjumlah 900 buah harus juga diberi bantuan dengan jumlah RM225 juta,” katanya.
Jelas Aminuddin lagi, sekolah-sekolah swasta yang masih menggunakan sistem dan sukatan pendidikan nasional berbanding dengan sekolah persendirian cina yang menggunakan sistem yang dikelola sendiri oleh Dong Zong, iaitu UEC.
“Jadi kita haraplah kerajaan dapat menterjemahkan nilai keadilan, yang sentiasa dilaung-laungkan dalam Konsep Madani, dengan memberikan peruntukan yang sama dan saksama kepada semua.
“Kalau tidak, buang ke laut sajalah Madani,” katanya.