Beberapa negeri di utara diramal hujan pagi Aidilfitri
KL, Putrajaya dan Perak diramal hujan di sebelah petang

BANGI, 30 Ramadan 1444H, Jumaat – Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional di Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir berlaku di beberapa negeri pada hari pertama dan kedua Hari Raya Aidilfitiri.
Pada hari pertama, hujan diramalkan berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak di sebelah pagi.
Selain itu di barat Johor dan beberapa kawasan di Sabah iaitu Kudat dan Sandakan juga diramalkan menerima hujan.
Namun di tempat-tempat lain tiada hujan diramalkan.
Manakala pada sebelah petang, METMalaysia meramalkan cuaca hujan atau ribut petir di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk Putrajaya.
Katanya, cuaca hujan atau ribut petir turut diramal berlaku di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah di bahagian pedalaman serta pantai barat.
Kawasan lain yang turut terjejas termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Miri, Limbang di Sarawak dan Sabah di Sandakan dan Tawau.
Pada sebelah malam pula, METMalaysia meramalkan hujan di satu dua tempat di Sarawak (Sri Aman, Betong, Kapit, Miri dan Limbang) serta Sabah (Bahagian Pedalaman, Pantai Barat dan Sandakan) serta Wilayah Persekutuan Labuan.