Berita Utama

Khairy dicalonkan dalam PRN jika sertai Bersatu

Bekas pemimpin UMNO mampu kuatkan Bersatu turut ditawar sertai parti

KUALA LUMPUR, 30 Ramadan 1444H, Jumaat – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menantikan khabar daripada Khairy Jamaluddin mengenai tawaran untuk menyertai parti itu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, jika Khairy – yang dipecat oleh UMNO – menerima tawaran mereka, beliau boleh dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Memetik akhbar Utusan Malaysia Razali berkata, jemputan itu dipanjangkan kepada Khairy daripada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023.

“Dalam pertemuan itu, beliau (Muhyiddin) menawarkan Khairy untuk bertanding atas tiket Bersatu pada PRN jika masih berminat dengan politik.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang ditetapkan termasuk beliau menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Bersatu dan kerusi yang ditandinginya akan ditentukan oleh pimpinan Perikatan Nasional,” kata Razali.

Beliau juga memaklumkan bahawa Khairy telah meminta sedikit masa untuk memikirkannya tetapi tidak mendedahkan berapa lama tempoh tersebut.

Razali berkata, beliau secara peribadi akan mengalu-alukan bekas Ketua Pemuda UMNO itu sebagai ahli Bersatu selagi dia akur dengan keputusan parti.

Khairy adalah Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal sejak 2008, tetapi diletakkan oleh UMNO di Sungai Buloh, Selangor untuk Pilihan Raya Umum (PRU15) pada November 2022, di mana beliau tewas kepada Datuk Ramanan Ramakrishnan dari Pakatan Harapan.

Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari tahun ini bersama 44 yang lain kerana mengkritik kepimpinan parti.

Pada masa sama, Razali berkata, Bersatu akan mengalu-alukan mana-mana bekas pemimpin UMNO yang boleh menguatkan parti.

“Seperti yang kita sedia maklum, ramai pemimpin UMNO telah dibuang. Jika mereka mampu memperkukuhkan lagi Bersatu, tidak ada salahnya mereka menyertainya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button