Konflik Sudan: Penduduk terkurung tanpa bekalan elektrik, makanan dan air
Lebih 300 mangsa korban pertempuran antara tentera-RSF

KHARTOUM, 30 Ramadan 1444H, Jumaat – Lebih 300 orang terbunuh sejak pertempuran meletus antara unit tentera yang setia kepada ketua de facto, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, dan Rapid Support Forces (RSF) yang dipimpin Timbalan Ketua Sudan, Mohamed Hamdan Dagalo.
Pertempuran itu telah mengorbankan ramai orang awam di seluruh Sudan sejak Sabtu.
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Ahmed Al-Mandhari berkata, hampir 330 orang maut dan 3,200 lagi cedera di ibu kota Khartoum, wilayah barat Darfur, dan negeri lain.
Laporan media yang memetik saksi memberitahu, letupan dan tembakan bergema di ibu negara Sudan pada hari Khamis ketika pertempuran antara pasukan dua jeneral memasuki hari keenam.
Bunyi tembakan kedengaran dan asap hitam tebal kelihatan dari bangunan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum dan ibu pejabat tentera di ibu negara.
Di sekitar ibu kota dan tempat lain, pasukan RSF di atas kenderaan berperisai dan trak pikap yang dipasang dengan mesingan telah mengambil alih jalanan.
Beberapa hari kebelakangan ini, beberapa pertempuran paling sengit telah berlaku di Khartoum, sebuah bandar yang menempatkan lima juta orang, yang kebanyakannya telah terkurung di rumah mereka tanpa bekalan elektrik, makanan dan air.
Pertempuran juga telah merosakkan bangunan kediaman dan komersial, dengan orang awam berteduh di rumah mereka.
Pakar perubatan Sudan memberi amaran mengenai situasi penjagaan kesihatan yang melanda, terutamanya di Khartoum di mana banyak hospital terperangkap dalam pertempuran itu.
Di luar Khartoum, saksi melaporkan letupan kuat di bandar Obeid, di negeri tengah Kordofan Utara.
Percubaan baru gencatan senjata dalam pertempuran sengit antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera di Khartoum dan di tempat lain gagal pada hari Rabu.
Ini menyebabkan orang ramai bimbang terhadap bekalan makanan yang semakin berkurangan dan kerosakan dalam perkhidmatan perubatan. – Agensi