Berita Utama

Krisis Sudan: Kedutaan pindah rakyat kita ke lokasi selamat

Meski berisiko tinggi, tetap perlu dilaksana demi keselamatan

BANGI, 30 Ramadan 1444H, Jumaat – Pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum telah memindahkan dua rakyat kita ke lokasi lebih selamat.

Dalam operasi itu, dua warga Kanada, seorang rakyat Amerika Syarikat dan dua dari United Kingdom (UK) juga dibawa keluar.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, operasi pemindahan itu dilakukan setelah membuat penilaian mendalam dan dengan mandat daripada Pasukan Khas Wisma Putra.

“Walaupun operasi ini amat berisiko tinggi, ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.

“Operasi pemindahan sebagai langkah persediaan Kedutaan Besar negara mengumpul rakyat Malaysia di satu lokasi yang selamat bagi proses pemindahan keluar dari Khartoum kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, situasi di Sudan semakin kompleks dan berubah setiap masa dengan kedua-dua pihak yang bertelagah masih meneruskan pertempuran.

“Gencatan senjata yang diusulkan beberapa kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Amerika Syarikat langsung tidak dipatuhi mereka,” katanya.

Beliau meminta rakyat Malaysia memohon kepada Yang Maha Esa untuk menjaga dan melindungi keselamatan rakyat kita di Sudan dan operasi membawa mereka pulang ke tanah air dipermudahkan-Nya.

Terdahulu, pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) Sudan mengumumkan gencatan senjata selama 72 jam sempena Aidilfitri bermula Jumaat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button