Pelihara sabar meski selepas Ramadan
Allah tidak akan sia-siakan pahala mereka yang lakukan kebaikan

SATU suasana yang unik pada bulan Ramadan adalah Allah menyusun manusia di dalam sebuah aturcara yang seragam. Bermula dengan Qiyamullail, kemudian sahur, berpuasa sepanjang hari, solat tarawih, solat witir, tadarus dan berzikir.
Begitulah selama 30 hari. Penyusunan Allah SWT dalam membentuk kemanusiaan yang bukan sekadar menuntut hak untuk hidup dan bergembira di dunia, tetapi apakah sisi terbesar kemanusiaan yang terbina dari penyusunan ilahi ini?
Tiada khilaf, tarbiyah Ramadan ingin membawa kepada taqwa, bagaimanapun tidak akan boleh seseorang mencapai taqwa dan kekal dalam taqwa melainkan dengan akhlak ‘sabar’ yang tinggi.
Allah berfirman di dalam Surah Yusuf;
[إِنَّهُ مَنْ يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ]
“Sesungguhnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan pahala mereka yang melakukan kebaikan”
Apabila seorang yang bertaqwa mampu bersabar maka ganjarannya akan kekal istiqamah dalam taqwa, dan begitulah darjat Ihsan tercapai. Darjat dekat dengan Allah sehingga di beri gelaran Muhsiniin. Darjat yang ingin dicapai oleh semua hamba Allah.
Namun suatu yang unik di dalam tarbiyah bulan Ramadan untuk kita fikirkan bersama.
Keadaan, penat beribadah, kelaparan berpuasa, tidak cukup tidur, tidak cukup rehat, tidak cukup makan, tidak cukup minum, tidak cukup masa untuk diri sendiri (konsep ‘healing’ seolah memberi masa untuk puaskan diri); kesemua ini adalah keadaan yang esktrem.
Andai berlaku pada seorang dalam keadaan biasa (di luar ramadan) saya yakin pasti amat sukar untuk bersabar! Pasti dalam keadaan tertekan, dan apa-apa perkara yang tidak kena akan “trigger” untuk “meletup” pada bila-bila masa.
Bayangkan seorang ibu yang sedang tidak cukup tidur, lapar (hungry + angry= hangry), dahaga, masa terkejar-kejar satu agenda ke agenda lain, tiba-tiba anak tertumpah air contohnya, pasti amat menguji ibu tersebut. Atau seorang bapa yang dalam keadaan sama, tiba-tiba anak tercalar kereta, pasti menguji untuk tidak marah dan kekal bertenang.
Namun di bulan Ramadan, kita mampu bersabar dengan penuh kualiti dengan sekadar mengatakan “sesungguhnya aku sedang berpuasa”.
Inilah tarbiyah yang tinggi di bulan Ramadan, 30 hari diasak untuk mempunyai nilai kesabaran dalam kehidupan dunia di siang hari, dan diasak untuk kesabaran beribadah di malam hari. Andai seorang mampu bersabar dengan ujian dunia, dan bersabar beribadah kembali kepada Allah apakah berbaki kelemahan dan kekurangan?
Andai seorang mampu membawa keluar 20% kesabaran di bulan Ramadan ke dalam hari-hari selepas Ramadan, pasti dengan kualiti kesabaran sedemikian akan membina sebuah peribadi yang bertaqwa dan mencapai ihsan pada kadar yang lebih baik daripada sebelum Ramadan. Namun amat malang andai berakhir Ramadan, kesabaran yang ada turut serta menghilangkan diri.
Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Ketua Unit Sekretariat Penulisan Ulum Syarak PEMIKIR