TPM ingatkan perantau sentiasa berhati-hati
‘Ingat orang tersayang yang menanti kepulangan kita’

PUTRAJAYA, 30 Ramadan 1444H, Jumaat – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan orang ramai yang melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman supaya sentiasa berhati-hati.
Beliau menasihatkan mereka supaya memandu dengan penuh cermat serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Sentiasalah ingat kepada orang tersayang yang menanti kepulangan kita. Salam dihulur tanda ingatan, semoga ukhwah sentiasa berkekalan.
“Selamat Hari Raya Aidilfitiri saya titipkan, buat keluarga dan juga kenalan,” katanya menerusi video ucapan raya yang dimuat naik di Facebook.
Dalam kesempatan sama, Fadillah mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh Malaysia serta warga Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Katanya, ketibaan Syawal adalah satu kemenangan besar bagi setiap umat Islam yang berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan.
“Marilah kita bersama-sama menjalin silaturrahim bersama sanak saudara dan rakan taulan semasa perayaan di bulan mulia ini,” katanya.