Berita Utama

Jentera pilihan raya Bersatu tetap aktif meski akaun disita

Operasi kumpul dana sendiri jalankan aktiviti parti

KUALA LUMPUR, 1 Syawal 1444H, Sabtu – Walaupun akaun parti disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pemimpin Bersatu yakin jentera pilihan raya mereka akan tetap berjalan lancar pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Ibrahim berkata, Bersatu telah belajar daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila dikenakan perintah pembubaran sementara selama 30 hari – hanya sebulan sebelum tarikh pengundian 9 Mei 2018,

“Kali ini, ia juga sama. Saya lihat sokongan meningkat apabila kita didesak dalam pelbagai cara dan dituduh dalam banyak perkara.

“Kita cuma nak tanya kenapa hanya Bersatu sahaja yang disiasat untuk aliran masuk dana tetapi bukan pihak lain terutama yang berada dalam kerajaan.  Apakah sumber dana mereka?,” soalnya.

Dengan akaun dibekukan, beliau berkata, bahagian parti telah memulakan operasi mengumpul dana mereka sendiri bagi menjalankan aktiviti mereka.

“Kami tetap beroperasi seperti biasa. Tiada satu bahagian pun ditutup kerana krisis kewangan,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, Bersatu akan mengambil semua langkah undang-undang yang diperlukan ke atas akaun yang dirampas.

“Mahkamah harus memutuskan sama ada tindakan yang diambil oleh SPRM adalah sah dan adil atau tidak.

“Tolong berlaku adil. Pembiayaan politik tidak menyalahi undang-undang di negara kita (setakat ini), dan tidak ada bukti sama sekali bahawa (presiden parti) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kontraktor atau pembiaya memberi sumbangan kepada parti kita.

“Rampasan akaun itu boleh menjejaskan kempen kami dalam enam pilihan raya negeri akan datang, tetapi ia tidak akan menghalang kami. Kami juga mempunyai ramai sukarelawan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button