Berita Utama

Hadkan aktiviti luar, waspada cuaca panas, nasihat Jabatan Kesihatan Pahang

Senario terburuk bila suhu badan meningkat dengan cepat sebabkan strok haba

KUANTAN, 2 Syawal 1444H, Ahad – Pihak berkuasa kesihatan Pahang menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah berikutan cuaca panas yang berterusan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, cuaca panas ketika ini mencapai suhu antara 35 dan 37 darjah Celsius.

“Terdedah kepada cuaca panas dan gelombang panas boleh menyebabkan selaran matahari dan ruam kulit, manakala pendedahan berterusan akan mengakibatkan kehilangan cecair badan yang mungkin menyebabkan kekejangan otot dan kelesuan haba.

“Senario terburuk ialah apabila suhu badan meningkat dengan cepat menyebabkan strok haba. Strok haba adalah kecemasan perubatan yang perlu segera dirawat untuk mengelakkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Nor Azimi menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal yang berlebihan dan masa yang dihabiskan di bawah terik matahari.

“Gunakan topi atau payung apabila berada di bawah cahaya matahari langsung dan jangan duduk dalam kenderaan tertutup dengan penyaman udara dimatikan.

“Gunakan kipas atau hidupkan penghawa dingin untuk menyejukkan badan dan mengurangkan pengambilan minuman yang mengandungi kafein, gula dan alkohol.

“Sekiranya tidak sihat, dapatkan rawatan segera di klinik,” katanya sambil menambah orang ramai boleh melayari https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button