Pendapat

Jadikan Aidilfitri wadah kesatuan dan ukhuwah islamiah

Leraikan sengketa sesama kita dengan saling bermaaf-maafan

1. ALHAMDULILLAH, marilah kita menzahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan. Sesungguhnya Aidilfitri adalah menifestasi kemenangan bagi mereka yang berjaya menundukkan hawa nafsu dan runtunan syahwat demi menjunjung perintah Allah SWT. Ia juga memaknakan erti kembali menjadi suci dan bersih nurani selari dengan konsep Aidilfitri ( kembali kepada fitrah yang bersih dari dosa dan noda).

2. Ramadan yang kita lalui merupakan madrasah rabbani . Ia mengajar kita erti perhambaan yang sebenar, nilai kemanusiaan dan kepedulian sesama insan serta mengangkat sifat karamah insaniah mengatasi nafsu haiwani. Justeru ia perlu dicerakinkan dalam watak dan perilaku sebagai insan muslim di mana kita berada dan di setiap ketika pada setiap manusia tidak kira latar belakang bangsa dan agama.

3. Bagi merealisasikan makna kegembiraan ini, marilah kita raikan ia dengan saling kunjung mengunjung, ziarah menziarahi, bertemu sapa dengan mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga, saudara seislam dan sesama insan. Jadikan Aidilfitri wadah kesatuan dan ukhuwah islamiah serta leraikan sengketa sesama kita dengan saling bermaaf-maafan dan bersalam salaman.

4. Pada masa yang sama usah dilupa saudara- saudara kita yang diuji dengan pelbagai dugaan dan serba kekurangan dalam meraikan hari lebaran. Hulurkan simpati dan sifat ihsan kepada mereka bagi meringankan beban derita mereka.

5. Untuk saudara- saudara kita di luar sana khususnya umat islam di Palestin, panjatkan doa kemenangan dan selamatkan mereka dari kekejaman Zionis Israel.

6. Mewakili keluarga besar Ikatan Guru Muslim Malaysia mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Kullu ‘Aam Wa Antum Bi Alfi Kheir kepada semua warga guru dan muslimin muslimat semua.

Semoga Allah menerima segala amal solih dan ketaatan kita semua. Amin.

Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button