Berita Utama

Penjual lemang serang pembeli ditahan

Suspek dakwa mangsa baling lemang belum dimasak ke arahnya

MELAKA, 2 Syawal 1444H, Ahad – Seorang penjual lemang ditahan kerana menyerang seorang lelaki yang mendakwa lemang yang dibelinya tidak dimasak dengan sempurna, dalam kejadian di gerai tepi jalan di Jalan Bukit Beruang Utama berhampiran sebuah stesen minyak di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, dalam kejadian 8 malam pada Jumaat (21 April), mangsa yang merupakan veteran tentera berusia 61 tahun mengalami kecederaan di telinga kiri dan tangan kanan selepas dipukul dengan kayu buluh.

Beliau menerima rawatan akibat kecederaannya di Hospital Melaka.

ACP Christopher berkata, mangsa pergi ke gerai lemang untuk mendapatkan pengganti lemang yang dibelinya pada sebelah pagi kerana tidak dimasak dengan sempurna.

“Mangsa mendakwa cuba menunjukkan lemang yang belum dimasak itu kepada penjual berusia 40-an itu, namun dia enggan melihatnya.

“Penjual lemang itu kemudian membelah salah satu lemang yang dibeli pengadu dan menunjukkan lemang itu telah masak sepenuhnya, sebelum berlaku pertengkaran antara mereka yang akhirnya membawa kepada dakwaan serangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, penjual lemang itu turut memukul mangsa menggunakan batang buluh di telinga kiri dan tangan kanan.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kerana suspek mendakwa mangsa membaling lemang yang belum dimasak itu ke arahnya sehingga menimbulkan kemarahan.

Dia turut mendakwa mangsa juga mahu memuat naik video yang dirakamnya mengenai kejadian itu supaya orang ramai tidak datang ke gerainya.

Beliau memaklumkan, suspek ditahan di Jalan Kota kira-kira jam 12.15 pagi Sabtu, namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

Susulan itu, siasatan sedang dijalankan, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pada Sabtu (23 April), klip video berdurasi 29 saat kejadian itu tular di media sosial, yang menunjukkan penjual lemang itu memukul mangsa dengan buluh dan melemparkan kata-kata kesat kepadanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button