Berita Utama

Agihan kerusi PN hampir 90 peratus selesai

DUN Terengganu akan dibubar sebelum tempoh tamat

MARANG, 3 Syawal 1444H, Isnin – Agihan kerusi di negeri terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kini sudah di peringkat akhir iaitu hampir 90 peratus.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu diperoleh menerusi sesi libat urus bersama enam negeri yang terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Kebanyakan daripada negeri-negeri itu telah selesai berbincang mengenai agihan kerusi dimana lebih kurang 85 peratus hingga 90 peratus telah selesai.

“Tinggal satu dua kerusi lagi bagi setiap negeri yang perlu diputuskan oleh kepimpinan tertinggi mewakili parti masing-masing. Mereka akan duduk kembali untuk berbincang. Mungkin perbincangan seterusnya selepas musim perayaan ini,” katanya seperti dilapor Sinar Online.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, PN akan menggunakan lambang PAS di Kelantan dan Terengganu manakala empat negeri lain iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan menggunakan lambang PN sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Kita akan maksimumkan kemenangan sama ada atas nama PAS atau PN di negeri-negeri yang bertanding menggunakan lambang PN atau lambang PAS,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, beliau berkata, ia akan dibubarkan sebelum akhir Jun dan jentera parti kini dalam keadaan bersiap siaga.

“DUN Terengganu akan dibubarkan sebelum tempoh tamat di mana tempoh tamat adalah hari terakhir pada bulan Jun. Mungkin tak jauh beza dengan Kelantan..mungkin kita bubar selepas Kelantan bubar.

“Dari segi persiapan, kita sudah bersedia sejak tahun lepas lagi malah ketika PRU15 lalu kita dah bersedia untuk hadapi PRN.

“Namun, disebabkan beberapa pertimbangan-pertimbangan yang dibuat pada waktu itu, kita tangguh dahulu pilihan raya di negeri ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button