Jangan dedah kes rasuah babit pemimpin parti lawan saja
Jumlah kes rasuah babit pentadbir awam, ahli politik amat menggusarkan

BANGI, 3 SYAWAL 1444H, Isnin– Kerajaan Madani perlu untuk memastikan integriti dalam masyarakat terus diperkukuh dan tidak hanya gimik politik atau menyasarkan pendedahan kes rasuah hanya membabitkan pemimpin parti lawan demi kepentingan survival politik sahaja.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Dr Kartini Aboo Talib berkata, konsep integriti perlu dimulakan dari prasekolah dengan pendekatan bersesuaian dengan kohot umur kelompok sasaran.
Ini kerana didikan berterusan bermula pada awal usia dapat menjadikan mereka lebih mudah memahami dan menghayati integriti yang bersepadu.
“Ia sekali gus berupaya memperkasa masyarakat untuk menolak rasuah serta berani melaporkan aktiviti rasuah hingga akhirnya menghentikan perbuatan rasuah daripada terus menjadi barah yang boleh merosakkan diri pelaku, keluarga, rakyat serta negara.
“Kegigihan membudayakan integriti turut menggesa kerajaan untuk membina Indeks Integriti Nasional.
“Malangnya, janji untuk melaksanakan kajian itu pada dua dekad mutakhir ini, masih belum dilaksana. Ini menjadikan sikap ‘cakap tak serupa bikin juga boleh dipersoal integritinya,” katanya dalam artikel disiar Berita Harian.
Beliau melahirkan kebimbangan apabila jumlah kes rasuah dalam negara mencanak naik.
Katanya, kenaikan mendadak jumlah kes rasuah membabitkan pentadbir awam dan ahli politik begitu menggusarkan sehingga melahirkan pandangan populis bahawa duit yang disimpan untuk jaminan masa tua bakal disonglap oleh perakus politik.
“Justeru, selari dengan aspirasi Madani, integriti dalam politik dan pentadbiran menuntut kekuatan kehendak politik yang mampu berkata tidak pada rasuah serta mampu bertindak jujur demi sebuah kebenaran yang pahit,” katanya.