Berita Utama

Menteri kata tak salah bina kasino di Sarawak

Abdul Karim selar pihak bantah buka tempat perjudian

KUCHING, 3 Syawal 1444H, Ahad – Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tidak salah untuk membina sebuah kasino di Borneo Highlands Resort kerana Sarawak bukan hanya untuk orang Islam.

Katanya, beliau telah mendengar beberapa bantahan pembukaan kasino kerana perjudian adalah haram dalam Islam.

“Tetapi mereka harus ingat bahawa Sarawak bukan untuk orang Islam sahaja. Mengapa mereka tidak bising tentang pembukaan cawangan 4D atau Toto? Itu juga haram untuk orang Islam,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau merujuk kepada bantahan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee bahawa kasino yang dicadangkan akan mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis (20 April), Jofri berkata, kasino boleh menyebabkan ketagihan perjudian dan akhirnya membawa kepada keruntuhan keluarga dan masyarakat.

Namun, Abdul Karim berkata, kasino itu bukan satu-satunya tarikan yang dicadangkan untuk pembangunan semula Borneo Highlands Resort.

Beliau berkata, ia akan menjadi resort bersepadu dengan kemudahan lain seperti padang golf dan taman hiburan.

“Orang ramai tidak menyedari bahawa kasino itu bukan satu-satunya tarikan di sana, jika ia dibuka,” katanya sambil memaklumkan bahawa keputusan untuk menubuhkan kasino itu akan dibuat oleh Perdana Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sebelum ini, Abdul Karim tidak menolak kemungkinan untuk membangunkan Borneo Highlands menjadi ‘Genting Highlands kedua’.

“Saya tidak boleh mengatakan ya atau tidak (untuk membuka kasino di Borneo Highlands) pada masa ini. 

“Saya rasa kita akan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk memutuskan sama ada membenarkan kasino dibina di sana,” katanya bulan lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button