Berita Utama

Dr Muhammad Radzi Ketua Pengarah Kesihatan baharu

Pelantikan berkuat kuasa pada 21 April lalu: Dr Zaliha

BANGI, 4 Syawal 1444H, Selasa – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan Dr Muhammad Radzi itu berkuat kuasa pada 21 April, menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, pelantikan itu berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas Dr Muhammad Radzi dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di KKM.

“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.

“Dr Muhammad Radzi pernah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi dan menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran ini dari tahun 2013 sehingga 2021.

“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti, Dr Muhammad Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh.

“… selaras Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan agar masyarakat Malaysia Madani dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berkualiti serta mapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button