Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Rumah Terbuka Malaysia Madani didakwa bermotif politik

Banyak pembaziran terpaksa dilabur demi kerakusan politik Anwar, kerajaan

BANGI, 4 Syawal 1444H, Selasa – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mendakwa langkah Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di negeri-negeri tertentu, hanyalah bermotifkan politik semata-mata menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya menegaskan bahawa langkah mendorong kepada lebih banyak pembaziran yang terpaksa dilaburkan demi memenuhi kerakusan politik Anwar serta kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tindakan dan amalan politik PH-BN tidak lagi mencerminkan perjuangan yang didambakan, bahkan satu demi satu prinsip kerajaan sekarang sekadar tinggal ucapan yang manis didengar di halwa telinga.

“Apakah semua pihak akan menerima bulat-bulat bahawa penganjuran jamuan Hari Raya Aidilfitri di negeri PRN semata-mata tiada udang di sebalik batu?

“Rakyat sudah bijak menilai dan membaca kebobrokan tindakan Kerajaan Madani yang semakin tempang pada hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Anwar mempelawa orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bersama Perdana Menteri dan jemaah menteri yang dijadualkan berlangsung di enam negeri.

Pada pemerintahan terdahulu, penganjuran Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri selalunya diadakan pada Hari Raya pertama di Putrajaya.

Bagaimanapun, Anwar kali ini memecah tradisi itu dengan menganjurkannya di enam negeri yang bakal bermula di Kedah pada 29 April, diikuti Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan kemuncaknya di Selangor (14 Mei).

Atas dasar itu, DUPP sekali lagi berpandangan bahawa penganjuran berkenaan hanya bermotifkan politik, memandangkan ia berlangsung di enam negeri yang terbabit pada PRN tidak lama lagi.

“DUPP menegaskan bahawa tidak sepatutnya kesemua tindak tanduk kerajaan hanya bersifat politik. DUPP seringkali mengingatkan agar kerajaan hari ini menjadi sebuah kerajaan kepada semua.

“Hentikan sikap politik kepartian dan sentiasa memastikan profesionalisme dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran. Malangnya, kerajaan omongan reformasi Madani hari ini indah khabar dari rupa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button