Berita Utama

30 rakyat Malaysia selamat tinggalkan Pelabuhan Sudan

Tempuh perjalanan selama 30 jam melalui jalan darat dari Khartoum

BANGI, 5 Syawal 1444H, Rabu – Kementerian Luar Negeri hari ini memaklumkan 30 rakyat Malaysia selamat meninggalkan Pelabuhan Sudan, dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi menuju ke Jeddah.

Dalam kenyataan di Facebook Wisma Putra, kementerian itu menyatakan baahwa kesemua mereka menempuh perjalanan yang sukar selama 30 jam melalui jalan darat dari Khartoum.

Katanya, perjalanan merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam.

“Atas semangat ehsan jua, Malaysia turut memudahcara evakuasi warganegara Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand dan Amerika Syarikat (AS) untuk dibawa keluar dari Sudan dengan selamat di bawah usaha dan pemantauan operasi evakuasi Malaysia.

“Kerajaan Malaysia menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih ke atas Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan dalam menjayakan misi ini,” katanya.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia berjaya membawa 30 rakyat kita dan 26 warga asing ke Pelabuhan Sudan.

Beliau berkata, usaha membawa keluar kesemua mereka bergantung kepada dua opsyen iaitu melalui laluan udara sewaan khas pesawat atau melalui laluan laut.

Seramai 26 warga asing itu membabitkan rakyat Singapura (14), Kemboja (6), AS (2) dan masing-masing satu membabitkan Filipina, Thailand, Palestin serta Sudan.

Konflik bersenjata di Sudan tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button