Tun M kagum, puji fasiliti MRT seperti negara maju
Bekas PM percaya kemudahan rel disambut baik jika kos tinggi tak dipedulikan

BANGI, 5 Syawal 1444H, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad memuji prasarana dan kemudahan yang terdapat dalam perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh ke Putrajaya.
Menerusi hantaran di Facebooknya, bekas Perdana Menteri itu berkongsi pengalaman mencuba fasiliti berkenaan bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, rakan dan turut ditemani kakitangan MRT pada hari raya ketiga.
Beliau mengagumi kemudahan yang terdapat pada MRT dan menyifatkannya setaraf dengan negara maju lain.
“Umumnya saya dapati seolah-olah saya berada di negara maju. Perjalanannya amat baik. Demikian juga kemudahan yang disedia untuk pelanggan. Stesen juga cukup besar dan dilengkapi dengan lif dan eskalator.
“Saya percaya kemudahan rel ini akan disambut baik oleh rakyat jika kos yang amat tinggi tidak dipedulikan. Tahniah saya ucap kepada anggota pengurusan MRT Sungai Buloh-Putrajaya,” katanya.
Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lalu bagi memudahkan pengguna berulang alik dari ibu kota ke Putrajaya.
MRT Laluan Putrajaya Dua dibangunkan dengan kos RM30.53 bilion melalui kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebelum ini memaklumkan, laluan sepanjang 57.7 kilometer itu keseluruhannya dilengkapi 36 stesen, iaitu 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah, dirangkaikan dengan lapan stesen yang membolehkan pengguna menukar kepada perkhidmatan monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM).