Baik utamakan sekolah daif dari bantu sekolah persendirian Cina
Kenapa pengumuman dibuat Anthony Loke bukan menteri pendidikan?

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 6 Syawal 1444H, Khamis – Mengapa pengumuman berkaitan peruntukan pendidikan untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara dibuat Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan?
Walhal, individu yang sepatutnya layak mengumumkan perkara berkenaan adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kata Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad.
Persoalan itu ditimbulkan beliau susulan pengumuman Loke mengenai keputusan kerajaan meluluskan peruntukan RM15.75 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.
Loke dalam satu kenyataan berkata, permohonan peruntukan itu dibuat Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim dan diluluskan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyelar perkara itu, Muhammad Lukman menyifatkan tindakan Loke jelas membuktikan peruntukan berkenaan sebahagian daripada tuntutan DAP, sebagai sebuah parti yang mendesak.
“Kalau tidak diberikan bantuan sekian-sekian, mungkin parti ini menarik diri dan sebagainya.
“Ini suatu yang tidak sihat berlaku dalam kerajaan hari ini, apabila DAP mula naik tocang, besar kepala dan mula tunjuk taring sebenar mereka sebagai parti rasis dan hanya memperjuangkan nasib bangsa mereka sahaja,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Muhammad Lukman berkata, keputusan kerajaan meluluskan sejumlah besar peruntukan berkenaan juga dilihat sebagai pelik dan boleh mengundang kemarahan rakyat.
“Pendirian kerajaan yang begitu mengutamakan sekolah persendirian Cina adalah tindakan menganaktirikan ratusan sekolah-sekolah persendirian lain yang sangat daif tanpa bantuan atau perhatian kerajaan.
“Kita berbicara bukan sahaja sekolah persendirian, tetapi sekolah-sekolah kerajaan sendiri yang sangat daif terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak bertahun-tahun dan di mana bantuan yang sepatutnya diberikan serta diutamakan kepada kepada sekolah kebangsaan,” katanya.
Beliau kesal kerajaan Malaysia Madani yang dipimpin Anwar hari ini bertindak secara luar biasa apabila mengutamakan sekolah persendirian Cina, sedangkan ia sudah menerima bantuan jutaan ringgit daripada taikun serta pihak swasta.
Katanya, perkara itu terbukti apabila fasiliti dan infrastruktur sekolah berkenaan jauh lebih baik, besar dan cantik seperti sebuah kolej.